Lantaran duduk bersila pada suatu petang di atas 'gerey' belahan batang pinang sambil menikmati keropok lekor, aku teringatkan Kain Seproh (Kain Saprah) yang bercorak batik yang masih utuh dalam lipatan Bonda. Kain Seproh sebenarnya mempunyai fungsi yang tersendiri untuk masyarakat Melayu Kelantan dan masyarakat Malaysia amnya.
Kain Seproh biasanya dihampar sewaktu menghidangkan juadah makanan kepada tetamu ketika kenduri kecil-kecilan di adakan di rumah, seperti kenduri arwah, tahlil, majlis peminangan, sembahyang hajat dan sebagainya.
Seingat aku, Kain Seproh yang dihampar adalah bercorakkan Batik Kelantan, yang mana motifnya pula, tidaklah pula aku arif tentang corak-corak / motifnya.
Aku bukannya ahli yang pakar tentang mengkaji dan peramal kesusutan atau pembangunan budaya, sebaliknya, aku merasakan tidak lama lagi, hamparan Kain Seproh bercorak batik ini akan turut ‘berterbangan’, seperti mana budaya makan ‘hidang’ yang kini digantikan pula dengan budaya makan ‘selerak’.
Kain Seproh bercorak batik, kini agak sukar didapati digudang-gudang menjual kain. Setakat ini, hasil tinjauan aku ke gudang-gudang kain di sekitar Pasir Mas, tidak ada lagi pemilik kedai yang menjual Kain Seproh yang bermotifkan batik ini, sebaliknya digantikan dengan Kain Seproh yang bermotifkan kuntuman bunga besar bersulam dibahagian tengah Kain Seproh itu. Lagi cantik dan elegan berbanding motif batik, ujar pemilik kedai itu sambil aku keras menidakkan di dalam hati.
Sepanjang bulan ini, ada beberapa majlis kenduri secara kecil-kecilan (tahlil / sembahyang hajat) berlangsung disekitar kampung aku. Yang dapat aku perhatikan, hamparan Kain Seproh bercorak batik ini digantikan pula dengan suratkhabar. Sebenarnya tiada permasalahan yang berbangkit tentang suratkhabar dan KainSeproh.
Kerana, jika diperhatikan dari satu sudut, suratkhabar lebih senang untuk didisposekan, berbanding Kain Seproh yang perlu dibasuh selepas digunakan.
Umum mengetahui, kenduri-kendara, walaupun berskala kecil, kekurangan Jong Dapur dan sikap gotong royong dirasakan begitu ketara sekali masa kini.
Ahli keluarga yang tinggal berjauhan, kemahiran skill Jong Dapur yang tidak dapat diwarisi dari generasi Emas ke generasi muda, kurangnya ‘minat’ warga perempuan ‘moden’ ‘bertumah’ di dapur lantaran tuntutan kerja ‘moden’ sehari-hari dan banyak lagi faktor yang menjadi pencorak, adalah faktor pencetus kepada ‘ketidak-meriah-nya’ suasana kenduri walaupun berskala kecil akhir-akhir ini.
Merasakan perlunya untuk aku menyimpan sepaling tidak, sedozen Kain Seproh bercorak batik ini, semoga gudang-gudang kain / batik di Kota Bharu masih ‘menyimpan’ Kain Seproh versi lama ini.
Dihadiahi oleh sang sobat dari Jawa yang turut sama kena angin kalu bercerita bab seni budaya tradisi.
Suasana diofisnya dirasakan seperti di Jawa, dengan berlatarbelakangkan muzik gamelan Jawa, Karawitan yang ujarnya, bisa merindingkan bulu roma.
Suasana diofisnya dirasakan seperti di Jawa, dengan berlatarbelakangkan muzik gamelan Jawa, Karawitan yang ujarnya, bisa merindingkan bulu roma.


0 comments:
Post a Comment