Perahu Tradisi Kelantan - Perahu Kolek ini
dibina dan didatangkan khas dari wilayah Pattani, Selatan Siam.
Berdasarkan temubual dengan pemilik dan nelayan setempat, sudah tidak ada lagi kepakaran masyarakat setempat (Kelantan) yang mampu membina perahu Kolek ini dari A ke Z.
Kepakaran mengecat bot, juga ujarnya; kepakaran masyarakat setempat tidak dapat menandingi hasil karya tukang cat dari wilayah Langkasuka itu.
Perahu Kolek juga dieja sebagai 'Kolea' di Pattani, dikatakan mampu bertahan sehingga 30 tahun kerana ia dibuat 100% dari kayu cengal, yang terkenal dengan ketahanannya dengan suhu dan cuaca persekitaran setempat.
Perahu Kolek di Pulau Gajah, Sabak.
Mampu mencecah RM 30,000 untuk sebuah Perahu Kolek,
Ayoh Pa - nelayan setempat memiliki 3 buah perahu Kolek yang dibelinya dari Pattani dengan harga RM 11,000 pada 15 tahun yang lalu.

Ayoh Pa, nelayan dan pemilik perahu Kolek
Ayoh Pa dengan sedikit kekesalan mengisahkan, tidak seorang pun dari kalangan anak-anak beliau yang berminat untuk meneruskan tradisi keluarganya untuk meneruskan penghidupan sebagai seorang nelayan.

Si kecil yang tidak mengenal erti kepupusan tradisi, dengan gurauan si Beruk, berlatarbelakangkan sebuah perahu tradisi.

Warna warni jaluran yang pada Perahu Tradisi.

Bangau Perahu yang aku cuba bandingkan dengan foto hitam-putih di bawah.
Satu-satunya Bangau yang aku perhatikan di Pulau Gajah ini yang outline-nya masih jelas menampilkan unsur Makara.

Bangau dan Okok.
Sekitar tahun 1950-an.
Bentuk perahu pada pengamatan aku adalah dari jenis Sekoci, iaitu perahu Tradisi Terengganu.
Jelas menampilkan figura Jin dari watak Wayang Kulit.
(Gambar diimbas dari buku Spirit of Wood)

Dari kiri : Bangau Ibu, Caping dan Bangau Anak
(Bangau Anak turut dikenali sebagai Okok)
Bangau dan Caping ini masih dalam proses pengecatan semula.
Ukiran yang begitu ringkas pada Caping ini tanpa bentuk motif 'Langkasuka' dan 'Daun jari buaya'.

Motif 'berlawanan' antara Bangau Ibu dan Bangau Anak (Okok).
Si ibu ditampilkan sebagai seekor naga (mungkinkah sebagai penjelmaan Makara?) dan si Anak ditampilkan sebagai motif flora.
Aku tertarik juga pada motif Caping yang kelihatan seperti seekor haiwan yang menganga, lantaran kewujudan mata pada bahagian tepi Caping.

Close up pada Caping tadi.
Imej yang nampak kabur adalah efek bayang2 dari guni jarang yang dijadikan peneduh sementara.
Mungkin agak melulu kalau aku menyimpulkan secara rawak,
Caping ini dari jauh kelihatan seperti Pohon Budi (Tree of life) dalam persembahan wayang kulit Kelantan.

Pasangan bangau dan caping dari perahu yang berdekatan.
100% bermotifkan flora.

Koyan.
Hampir kesemua Koyan ditampilkan dalam bentuk Burung. Perlambangan jenis Burung yang tidak dapat aku kenalpasti.
Koyan berfungsi sebagai kemudi dan diibaratkan sebagai stereng kereta oleh nelayan yang sempat aku temubual.